Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sejak kebelakangan ini, isu berkaitan halal dan haram makan di kedai peniaga bukan Islam menjadi perbualan hangat di kalangan masyarakat. Persoalan utama yang sering timbul adalah tentang hukum makan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam.
Dalam satu sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar Idrus (UAI), siaran pada 2 Mac 2023, beliau memberikan penjelasan terperinci berasaskan panduan agama mengenai perkara ini.
Dua syarat sah makanan halal
Menurut Ustaz Azhar Idrus, terdapat dua syarat utama yang mesti dipenuhi untuk memastikan makanan itu halal dimakan:
Makanan mesti suci
Makanan tersebut hendaklah bebas daripada perkara najis atau kotor. Contohnya, walaupun seorang Muslim memasak hidangan seperti mengkarung tiga rasa, ia tetap tidak boleh dimakan jika bahan tersebut adalah najis atau tidak suci.
Beliau turut menegaskan, haiwan yang perlu disembelih mesti disembelih dengan cara yang betul mengikut hukum Islam.
Alat memasak mesti bersih
Selain bahan makanan, alat memasak juga perlu bersih. Dalam satu hadis, sahabat Nabi bertanya tentang hukum makan dalam bekas milik orang bukan Islam ketika bermusafir ke negara mereka. Nabi Muhammad SAW menjawab, bekas tersebut wajib dibersihkan terlebih dahulu sebelum digunakan.
UAI memberikan contoh mudah seperti roti canai. Jika roti tersebut dibuat oleh orang bukan Islam, selagi bahan-bahannya suci dan alat yang digunakan bersih, maka ia halal dimakan. Namun, beliau menekankan afdal untuk memilih makanan yang dimasak oleh orang Islam.
Beliau juga menegur sikap sesetengah orang yang tidak lagi peduli tentang kesucian makanan, asalkan ia viral. Contohnya, makanan Jepun yang menghidangkan daging atau ikan berdarah yang tidak dibasuh dianggap haram kerana darah tersebut termasuk dalam kategori najis.
Kesan makan makanan tidak halal
Ustaz Azhar Idrus turut mengingatkan, memakan makanan haram boleh memberi kesan buruk kepada akal dan jiwa. Beliau mengaitkan fenomena masyarakat yang suka menghina ulama atau tidak menghormati amalan agama sebagai akibat daripada pengambilan makanan haram.








