Sultan Selangor seru wakil rakyat hayati makna Rukun Negara di Dataran Selangor | The Reporter

Sultan Selangor seru wakil rakyat hayati makna Rukun Negara di Dataran Selangor

Sultan Selangor bergambar di Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor sambil menyeru rakyat menghayati prinsip perpaduan negara.
Gambar: Facebook Selangor Royal Office

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru semua wakil rakyat di Selangor supaya menghayati serta memahami prinsip Rukun Negara dengan hadir ke Dataran Selangor untuk membaca kandungan yang tertera pada Plak Monumen Rukun Negara.

Menerusi satu kenyataan, baginda bertitah perkara itu penting agar setiap pemimpin memahami makna sebenar Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan rakyat Malaysia.

Pada masa sama, baginda turut mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya datang ke Dataran Selangor setiap minggu bagi lebih menghayati prinsip berkenaan termasuk menghormati kedaulatan Institusi Raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

“Beta juga menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen ini.

“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dah hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah Baginda.

Baca juga:

Terdahulu, Baginda berangkat ke Dataran Selangor bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang dibina berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.

Menurut baginda, plak monumen tersebut dibina dan dipasang oleh Jabatan Kerja Raya Selangor bersama kemudahan tempat duduk untuk pengunjung, manakala kos pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh baginda sendiri.

Baginda bertitah pembinaan monumen itu bertujuan mengingatkan rakyat mengenai sejarah kelahiran konsep Rukun Negara yang tercetus susulan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.

“Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai badan pemerintah ketika itu telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini,” titah baginda.

Baginda turut berharap generasi baharu yang berkunjung ke Dataran Selangor dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara demi memperkukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Related Posts