Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyuarakan kebimbangan berhubung laporan serbuan pihak berkuasa terhadap sebuah premis “kesihatan” di Chow Kit yang dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang, sehingga mengakibatkan 208 individu ditahan termasuk 17 penjawat awam.
Timbalan Presiden ABIM Mohamad Saifuddin Abdul Latiff menyifatkan perkembangan ini sebagai bukti bahawa budaya maksiat di Malaysia semakin berani dan dilakukan tanpa rasa segan, meskipun ia jelas bercanggah dengan agama, fitrah kemanusiaan dan nilai masyarakat.
Menurutnya, penglibatan pendidik, petugas kesihatan serta penjawat awam dalam kegiatan sedemikian menimbulkan kebimbangan besar.
“Mereka adalah golongan yang memegang amanah mendidik, menjaga keselamatan dan melindungi kebajikan rakyat. Apabila kelompok ini turut terlibat, ia menggambarkan keruntuhan integriti yang serius serta menggugat keyakinan masyarakat terhadap institusi yang sepatutnya menjadi rujukan moral negara,” katanya.
Trend HIV meningkat akibat hubungan sejenis
Beliau turut merujuk data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunjukkan perubahan trend jangkitan HIV, dengan peningkatan ketara penularan melalui hubungan sejenis dalam kes baharu.
Katanya, situasi ini membuktikan bahawa perlakuan songsang bukan sahaja bercanggah dengan syariah, malah membawa risiko kesihatan awam yang besar.
“Ia tidak lagi boleh dianggap isu peribadi, sebaliknya ancaman sosial dan kesihatan yang memerlukan intervensi menyeluruh daripada keluarga, masyarakat, pihak berkuasa, institusi agama dan pendidikan,” jelasnya.
Baca juga:
- Budaya Yeye: ‘Kalau berlaku pada zaman saya, saya sudah tampar’ – MP Ketereh
- Laporan EAIC bongkar kes pasport terbang, 20 pegawai Imigresen dipecat
- Petinju Muay Thai maut dirempuh trak pikap semasa joging
Isu moral yang mengulangi kebinasaan kaum Nabi Luth
Beliau juga menegaskan bahawa fenomena ini mengulangi bentuk kemungkaran yang pernah membinasakan kaum Nabi Luth, apabila perbuatan keji bukan sahaja dilakukan, malah dinormalisasikan secara terang-terangan.
“Dalam pandangan para fuqaha’, liwat dan hubungan sejenis merupakan dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Dalam disiplin fiqh juga, apabila maksiat dilakukan secara terbuka, pelakuny kehilangan pelindungan satr, dan pemerintah bukan sahaja berhak malah wajib melaksanakan tindakan pencegahan atau ta‘zīr demi menjaga maslahah umum,” katanya.
Kesal ada pihak perlekeh isu
Dalam pada itu katanya, ABIM turut kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang mempersenda isu ini dengan jenaka dan emoji.
“Hilangnya rasa jijik terhadap kemungkaran adalah petanda hati yang semakin gelap. Ia membuka ruang normalisasi dan meruntuhkan sensitiviti moral masyarakat.
“Sikap sebegini amat berbahaya kerana ia membuka ruang normalisasi, meruntuhkan sensitiviti moral dan akhirnya menjerumuskan masyarakat ke dalam gelombang kerosakan sosial yang lebih besar,” tegas beliau.
Sehubungan itu, ABIM menyeru seluruh masyarakat agar tidak menormalisasikan maksiat dalam apa jua bentuk, serta memperkukuh peranan keluarga, sekolah, masjid, komuniti dan kerajaan dalam melaksanakan intervensi pencegahan yang menyeluruh.








