Pelawak Mamat Sepah menafikan dakwaan yang mengatakan dia dan Shuib mereka cerita dan menokok tambah setiap kejadian yang pernah dilalui oleh mereka bersama Jep semasa awal kemunculan kumpulan Sepah.
Berkata kepada Harian Metro, Mamat menegaskan dia masih ingat setiap perkara yang berlaku di antara mereka, termasuk kejadian di mana Shuib dan Jep hampir bertumbuk dalam kejadian 16 tahun lalu.
“Apa yang saya ceritakan dalam podcast itu berlaku kira-kira 16 tahun lalu. Mungkin ada orang yang sudah lupa membuatkan ia dianggap sudah ditokok tambah,” katanya.
Jep terdahulu ada mengeluarkan satu kenyataan yang meminta podcast sensasi berhenti menunggang namanya. Malah mendakwa apa yang disembang dalam podcast itu adalah sekadar tokok tambah.
Namun bagi Mamat, dia enggan mengeruhkan lagi keadaan dan menjelaskan hubungan mereka bertiga masih lagi baik seperti adik beradik.
“Saya enggan mengeruhkan lagi keadaan. Insha-Allah semua baik-baik saja. Hubungan saya dengan Jep dan Shuib baik,” ujarnya.