Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Harga emas di Malaysia terus menunjukkan peningkatan, dengan harga semasa mencecah RM448.48 bagi setiap gram pada Selasa, berbanding RM445.63 sehari sebelumnya. Menurut data daripada FXStreet, harga emas bagi unit 10 gram kini berjumlah RM4,484.91, manakala bagi satu tola pula adalah RM5,231.02.
Tola ialah unit ukuran berat yang biasa digunakan di Asia Selatan, bersamaan kira-kira 11.66 gram.
Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Louis Ng berkata, beberapa faktor global sedang mendorong kenaikan ini termasuk pembelian agresif emas oleh bank-bank pusat seperti China, serta ketidaktentuan ekonomi dunia.
“Pembelian emas secara besar-besaran oleh bank pusat meningkatkan rizab negara dan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga emas di pasaran,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa dasar perdagangan Amerika Syarikat juga mempengaruhi pasaran, khususnya kebimbangan terhadap tarif import yang menyebabkan penghantaran emas dari London ke New York meningkat.
Selain itu, inflasi yang masih tinggi dan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan menjadikan emas sebagai pilihan utama pelabur untuk melindungi nilai kekayaan mereka.
“Emas kekal sebagai aset yang stabil, terutama untuk pelaburan jangka panjang. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, harganya cenderung untuk terus naik,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pelabur jangka pendek agar lebih berhati-hati kerana harga emas boleh turun naik dengan cepat dan mendadak.








