Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Mohd Izhar Izhar Ariff menjelaskan bahawa hukum membeli set kain kafan mahal dalam Islam tidak boleh dinilai secara mutlak, sebaliknya bergantung kepada niat dan cara pelaksanaannya.
Menurut beliau, Islam tidak pernah melarang umatnya daripada mengingati kematian, malah ia merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW agar manusia sentiasa menjauhi maksiat.
“Mengingati mati adalah sunnah Nabi SAW supaya kita sentiasa menghindari maksiat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada Nas haramkan kain kafan mahal
Beliau menjelaskan, tiada nas yang jelas dalam al-Quran atau hadis yang mengharamkan seseorang membeli kain kafan yang mahal.
Namun begitu, katanya, hukum perbuatan tersebut berubah mengikut keadaan, dan boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama.
Harus jika berkemampuan dan tidak menunjuk
Menurut Prof Dato’ Dr Mohd Izhaf, harus bagi seseorang membeli set kain kafan yang mahal sekiranya ia sejajar dengan tahap kemampuan hidupnya, dengan syarat tidak diuar-uarkan kepada umum.
“Perkara ini dirahsiakan dan hanya dimaklumkan kepada ahli waris sahaja. Niatnya adalah baik, iaitu memastikan segala persiapan ibadah selari dengan realiti kehidupannya di dunia,” jelas beliau.
Tambahnya, individu tersebut juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab agama lain seperti zakat, sedekah, hadiah dan wakaf.
Beliau menyamakan situasi itu dengan jemaah yang memilih pakej haji mewah bernilai ratusan ribu ringgit demi keselesaan.
Makruh jika dijadikan bahan promosi
Bagaimanapun, perbuatan membeli kain kafan mahal menjadi makruh tetapi tidak berdosa sekiranya ia dihebahkan kepada khalayak ramai bagi tujuan promosi produk atau kandungan, tanpa sebarang niat takbur atau sombong.
“Perbuatan ini menyebabkan masyarakat Islam bertikam lidah,” katanya.
Haram jika disertai riak dan penghinaan
Beliau menegaskan bahawa perbuatan tersebut boleh menjadi haram jika pembelian kain kafan mahal itu diuar-uarkan dengan niat riak, sombong atau sehingga menghina set kain kafan murah yang dimiliki adat/uruf hari ini.
Baca juga:
- ‘Haram jika beli set kain kafan diuar-uarkan bagi tujuan riak’
- Walaupun haram, masih ada suami paksa isteri ‘bersama’ ikut ‘pintu belakang’
- ‘Apa dalil dia kata cat lover ni ada masalah mental?’ – UAI
Tidak wajar hukum niat individu
Sehubungan itu, Prof Dato’ Dr Mohd Izhaf menasihatkan orang ramai agar tidak mudah menghukum individu lain, khususnya dalam perkara yang melibatkan niat, kecuali terdapat perbuatan nyata yang jelas membawa kepada unsur haram.
“Kita tidak boleh menghukum perbuatan seseorang itu khususnya melibatkan NIAT kecuali terdapat perbuatan jelas yang menjurus seseorang itu kepada perbuatan haram sebagaimana dinyatakan di atas,” jelasnya.









