Curi barang keperluan RM113.70, penganggur dipenjara sebulan | The Reporter

Curi barang keperluan RM113.70, penganggur dipenjara sebulan

Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara ke atas lelaki penganggur kerana mencuri barangan keperluan bernilai RM113.70.
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap penganggur yang mengaku bersalah mencuri barangan keperluan di pasar raya. | Sumber gambar: Sinar Harian

Seorang penganggur dihukum penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan mandian dan penjagaan diri bernilai RM113.70 di sebuah pasar raya, pada 1 Januari lalu.

Tertuduh, Muhamad Azrul Haqim Azman, 29, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 2 Januari.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri di dalam sebuah pasar raya kira-kira jam 9.30 malam. Antara barangan yang terlibat ialah satu unit Carrie Junior Hair and Body Wash, dua unit Selsun Shampoo 2-in-1, satu unit Lifebuoy Body Wash serta sehelai singlet jenama Byford, dengan nilai keseluruhan RM113.70.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, selain hukuman lebih berat bagi kesalahan berulang.

Baca juga:

Bukan untuk jual semula

Dalam rayuan mitigasi, peguam tertuduh memaklumkan anak guamnya berdepan kesempitan hidup selepas kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Tertuduh juga sudah berkeluarga serta mempunyai dua anak kecil berusia empat tahun dan tiga bulan.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa barangan mandian dan pakaian yang diambil bukan untuk tujuan komersial, sebaliknya bagi kegunaan harian tertuduh dan keluarganya. Selain itu, tertuduh juga menghidap penyakit darah tinggi, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes berkenaan merupakan kesalahan pertama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ummi Sharmimi Harun.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts