Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Walaupun jelas diharamkan dalam Islam, masih ada suami yang memaksa isteri melakukan hubungan intim melalui pintu belakang, satu perbuatan yang diklasifikasikan sebagai dosa besar dan tidak dibenarkan walaupun dalam perkahwinan yang sah.
Pendedahan itu dibuat oleh peguam syarie, Fahmi Ramli, yang berkata beliau terkejut apabila menerima pelbagai mesej peribadi daripada wanita yang mengadu ditekan dan dipaksa melayani kehendak seksual suami, termasuk perbuatan yang jelas bertentangan dengan hukum syarak.
Menurut Fahmi, terdapat suami yang sedar perbuatan itu haram, namun tetap memaksa dengan menggunakan alasan ketaatan isteri serta hujah agama yang disalah guna untuk menghalalkan nafsu sendiri.
Bukan makruh, tetapi haram dan berdosa besar
Fahmi menegaskan, hubungan intim melalui pintu belakang bukan sekadar makruh, sebaliknya haram secara jelas dalam Islam. Larangan itu kekal walaupun pasangan tersebut adalah suami isteri yang sah, kerana ketaatan kepada suami tidak boleh mengatasi larangan Allah SWT.
Beliau turut menjelaskan bahawa isteri tidak boleh dianggap nusyuz jika menolak permintaan suami yang bercanggah dengan hukum syarak, apatah lagi apabila ia memudaratkan tubuh badan dan maruah isteri.
Baca juga:
- ‘Rawatan alat sulit demi kepuasan, boleh jatuh haram’ – Ustazah Asma’
- ‘Rujuk pihak berautoriti jika ada masalah perkahwinan’ – Marhamah Rosli
- JAIS beri tempoh hingga 31 Mac, kosongkan tapak pencerobohan perkuburan Islam
Apabila agama dijadikan alat paksaan
Dalam pengalaman mengendalikan kes, Fahmi mendedahkan terdapat suami yang bukan sahaja memaksa hubungan songsang, malah mengugut isteri dengan alasan agama, termasuk melabel isteri sebagai nusyuz sekiranya menolak kehendak tersebut.
Keadaan menjadi lebih serius apabila ada isteri berada dalam tekanan emosi berpanjangan, terpaksa akur kerana takut berdosa atau kehilangan rumah tangga, sedangkan perbuatan itu sendiri adalah maksiat.
Isteri berhak mendapatkan perlindungan undang-undang
Menurut Fahmi, sekiranya suami berterusan memaksa walaupun telah dinasihati, isteri mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan melalui undang-undang, termasuk memohon pembubaran perkahwinan sekiranya wujud unsur penganiayaan dan mudarat terhadap diri.
Beliau menasihatkan para isteri supaya tidak terus berdiam diri dan memahami bahawa mempertahankan diri daripada perbuatan haram adalah satu kewajipan, bukan penderhakaan.
Fahmi turut mengingatkan bahawa jika perbuatan tersebut terus dibiarkan, isteri bukan sahaja menjadi mangsa, malah berisiko terjerumus sebagai pihak yang bersubahat dalam melanggar hukum Allah SWT.









