Seorang wanita yang bekerja sebagai guru ditemui mati di sebuah rumah di Kampung Tenghilan, Tamparuli, Sabah, pada 4 Julai lalu. Mangsa berusia 41 tahun dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam sehingga mengalami kecederaan serius di leher, kepala dan kedua-dua biji mata.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag. Maidin berkata, suspek yang juga abang kandung mangsa berusia 47 tahun ditahan pada hari kejadian selepas polis menerima maklumat daripada orang awam.
- LRT3 Shah Alam: Sultan Selangor zahir penghargaan kepada Najib dan Anwar
- Hilang sebelah kaki bukan penghalang, dua beradik gigih usahakan Cendol Meleleh
- ‘Dulu BN buat, dilabel macam-macam, sekarang tukar nama je’ – Wee Ka Siong
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menerima rawatan susulan di fasiliti kesihatan. Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bedah siasat telah dilakukan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, serta boleh dikenakan sebatan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313 atau hadir ke balai polis berhampiran.








