Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan bahawa penggunaan MyKad milik individu lain, termasuk ahli keluarga, bagi tujuan pembelian bahan api bersubsidi adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Memetik laporan New Straits Times, Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, MyKad merupakan dokumen pengenalan rasmi yang tidak boleh digunakan, dipegang atau diwakili oleh mana-mana individu selain pemilik asal.
Menurut beliau, larangan tersebut selaras dengan Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan bahawa penggunaan atau pemilikan kad pengenalan milik orang lain adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Sehubungan itu, semua urusan di kaunter termasuk pembelian bahan api perlu dilakukan sendiri oleh pemilik MyKad,” katanya.
Baca juga:
- Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf
- MP Masjid Tanah cadang Hospital Putrajaya dinamakan sempena Tun Dr Hasmah
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak meminjamkan atau menyerahkan MyKad kepada pihak lain bagi mengelakkan sebarang implikasi perundangan terhadap pemilik.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan mengenai penahanan seorang lelaki di Tumpat, Kelantan yang disyaki menggunakan empat kad pengenalan berbeza untuk membeli lebih 100 liter petrol RON95.
Suspek ditahan ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di daerah berkenaan.








