Syarikat Grab Malaysia hari ini menerima ancaman boikot daripada pengguna di seluruh Malaysia. Ini berikutan tindakannya menggantung perkhidmatan salah seorang penghantar makanannya yang terbabit dalam kes tular.
Tinjauan di media sosial mendapati, majoriti netizen berang dengan tindakan Grab yang dikatakan telah menggantung akaun perkhidmatan MatKibot yang sebelum ini menularkan video menunjukkan dua lelaki Singapura melakukan kesalahan dengan mengisi petrol di dalam tong.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Rider Grab kesal akaunnya digantung selepas tularkan video 2 lelaki Singapura isi minyak dalam tong
- Netizen pelik, 2 lelaki Singapura tidak dikenakan tindakan, sedangkan peraturan dah ada
- 2 lelaki Singapura beli minyak guna tong untuk Go-Kart, pengadu dah tarik balik laporan polis
- ‘You better delete ah?!’ – 2 lelaki dipercayai warga Singapura berang ditegur isi minyak dalam botol
MatKibot kemudian memaklumkan kepada pengikutnya di TikTok akaunnya telah digantung. Pihak Grab menjelaskan, mereka mendapat aduan yang mendakwa dirinya memegang pemutar skru untuk menyerang pengadu.
Bagaimanapun, MatKibot menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan dua lelaki Singapura itu telah memfitnahnya.
Menyedari desakan bertalu-talu di media sosial yang menuntut penjelasan mengenai tindakan penggantungan itu, Grab akhirnya tampil memberi menjernihkan keadaan.

“Hai semua! Kami ingin memberi jaminan kepada anda semua bahawa kami mengambil maklum mengenai isu ini.
“Grab Malaysia telah menerima pelbagai maklum balas dan pasukan kami sedang meneliti perkara itu.
“Kami gembira untuk mengatakan bahawa kami telah menarik balik penggantungan (akaun MatKibot). Kami berterima kasih di atas semua sokongan anda kepadanya,” kata kenyataan Grab Malaysia.
Sementara itu, MatKibot berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menyokongnya sejak video itu ditularkan.
“Grab admin telah pun menjalankan siasatan dan mendapati bahawa saya tidak bersalah. Akaun saya telah diaktifkan semula. Sekali lagi saya berterima kasih atas sokongan rakyat Malaysia,” katanya.
Sumber: Twitter Grab Malaysia, TikTok MatKibot








