Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis mengesahkan pertengkaran yang membabitkan dua lelaki warga Singapura dengan penghantar makanan dalam video tular di media sosial hari ini adalah berpunca daripada perselisihan faham.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan daripada penghantar makanan berkenaan yang memaklumkan kejadian itu berlaku di stesen minyak di Sunway Box, 16 Jun, kira-kira jam 8.30 malam.
Pengadu mendakwa, dia ternampak sebuah kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran Singapura yang dinaiki dua lelaki berkenaan untuk mengisi minyak.
Pengadu mendakwa dia ternampak lelaki warga asing itu memegang tong di pam dan berlaku perselisihan faham di antara mereka sebelum dileraikan oleh anggota polis bantuan Sunway yang kebetulan berada di lokasi tersebut.
Bagaimanapun siasatan pihak polis kemudian mendapati, dua lelaki itu sebenarnya mahu mengisi minyak ke dalam tong untuk kegunaan go-kart.
Pengadu juga telah menarik balik laporan yang telah dibuat kerana tidak berminat mahu meneruskan kes tersebut. Dalam masa yang sama, pengadu telah menarik balik video yang ditularkan itu daripada akaun TikTok.
Justeru, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Sumber: Harian Metro