GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menafikan dakwaan yang menyatakan rumah amal di bawah pengurusan mereka terlibat dalam pendidikan kanak-kanak dengan amalan seks luar tabii.
GISBH menegaskan, tuduhan yang dilemparkan terhadap pihaknya adalah berat dan berniat jahat. Mereka percaya, tuduhan ini dilemparkan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan imej dan perniagaan syarikat GISBH.
Pihak GISBH turut menafikan sebarang kaitan dengan rumah amal yang dinyatakan dalam tuduhan tersebut. Di mana, rumah amal yang diserbu pihak berkuasa dan beratus kanak-kanak diselamatkan tersebut, bukan di bawah kendalian mereka.
Selain itu, GISBH menekankan mereka sentiasa berusaha memastikan prinsip ‘Islam Sebagai Cara Hidup’ dihayati dalam seluruh aspek kehidupan, termasuk operasi rumah amal yang mereka kendalikan.
Justeru, GISBH akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan. Mereka juga bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak dengan niat jahat yang sengaja mencemarkan nama baik syarikat.
Sumber: Harian Metro