Gara-gara termuntah atas sofa, kanak-kanak maut didera hingga tengkorak, organ dalaman pecah - The Reporter

Gara-gara termuntah atas sofa, kanak-kanak maut didera hingga tengkorak, organ dalaman pecah

Kredit foto : NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dilaporkan meninggal dunia dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya.

Suspek dikatakan telah bertindak menendang dan menekan perut mangsa sehingga menyebabkan tengkorak serta organ dalaman perutnya pecah.

Perut mangsa ditendang berkali-kali

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner, Christopher Patit berkata, siasatan awal polis mendapati suspek mengaku menendang mangsa secara agresif kerana muntah di sofa kesayangannya semalam.

“Suspek juga mengaku menekan perut kanak-kanak itu secara agresif berkali-kali selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai.

“Akibat perbuatan kejam itu, tengkorak mangsa itu pecah selain organ dalaman perut turut pecah,” katanya.

Sebaik tiba di Hospital Melaka jam 6.50 pagi, kanak-kanak yang dalam keadaan tidak sedarkan diri dirawat di Zon Merah dan diberikan bantuan pernafasan lebih sejam. Namun doktor mendapati mangsa tidak memberikan sebarang reaksi sebelum disahkan meninggal dunia jam 9.15 pagi.

Kerap muntah

Christopher berkata, mangsa dihantar ke rumah suspek berusia 25 tahun di Cheng oleh ibu mangsa berusia 24 tahun yang juga teman wanita suspek untuk berubat jam 5.30 pagi semalam selepas dikatakan kerap muntah.

Bagaimanapun, katanya 40 minit kemudian suspek menghubungi ibu mangsa. Memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum kedua-dua mereka membawa mangsa ke Hospital Melaka.

Mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka jam 10.30 pagi untuk tindakan selanjutnya. Pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan badannya.

Dua suspek direman

Ibu kandung mangsa dan teman lelakinya kemudian ditahan polis di hospital untuk siasatan lanjut.

Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengetahui motif kejadian dan siasatan lanjut.

Dalam pada itu kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 13 Julai bagi membantu siasatan. Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!