Lokasi nahas bas UPSI termasuk dalam projek baik pulih, RM60 juta telah dibelanja sejak 2023 | The Reporter

Lokasi nahas bas UPSI termasuk dalam projek baik pulih, RM60 juta telah dibelanja sejak 2023

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi penjelasan isu laluan FT04
Alexander Nanta tegaskan laluan nahas UPSI telah pun dibaik pulih sejak 2023

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Lokasi nahas UPSI termasuk dalam projek baik pulih FT04 bagi tahun 2025.
• Sejak Jun 2023, RM60 juta telah dibelanjakan untuk naik taraf dan pembaikan laluan tersebut.
• Kerja melibatkan turapan semula, pembaikan jambatan dan pemasangan lampu jalan.

Laluan Gerik–Jeli (FT04) yang menjadi lokasi nahas tragis melibatkan pelajar UPSI sebenarnya sudah melalui kerja pembaikan besar sejak tahun lalu, dengan peruntukan melebihi RM60 juta. Perkara itu dimaklumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menerusi hantarannya di Facebook, semalam.

Beliau berkata, walaupun siasatan polis mengenai nahas masih berjalan, kementeriannya menerima banyak reaksi daripada orang ramai yang menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan jalan tersebut.

Apa yang telah dilakukan dengan peruntukan RM60 juta?

Nanta menjelaskan pada Jun 2023, Kementerian meluluskan peruntukan RM30 juta untuk membina semula sebahagian laluan FT04. Dua bulan kemudian, Perdana Menteri pula menyalurkan tambahan RM30 juta lagi bagi menaik taraf keseluruhan laluan.

“Pelbagai kerja telah dilaksanakan termasuk turapan semula jalan, pembaikan perabot jalan, baik pulih jambatan dan pemasangan lampu di kedua-dua arah laluan,” katanya.

Kerja-kerja ini dibuat berdasarkan penilaian kerosakan melalui kaedah Pavement Condition Assessment (PCA) dan telah siap secara berperingkat antara Julai hingga Ogos 2023, melibatkan kos RM55.73 juta.

Untuk tahun 2024, sebanyak RM7.2 juta pula diperuntukkan bagi membaiki beberapa seksyen lain di laluan ini. Manakala bagi tahun 2025, lokasi kemalangan itu sendiri telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi kritikal yang akan dibaik pulih, dengan anggaran kos RM55 juta.

Nanta turut menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan, apatah lagi ketika keluarga mangsa masih dalam tempoh berkabung.

“Saya amat berharap kita semua dapat memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan,” katanya sambil menegaskan komitmen kementerian memastikan jalan raya di negara ini kekal selamat dan selesa untuk semua pengguna.

Related Posts