Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Sesyen Muar pada Rabu membenarkan ‘Abang Bas’ yang didakwa atas dua pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan, diikat jamin sebanyak RM30,000.
Tertuduh sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut dan hakim menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Dalam pada itu, para pengikutnya di TikTok dikatakan sedang mengumpul dana untuk membantu tertuduh membayar ikat jamin tersebut, memandangkan tertuduh tidak berpendapatan tinggi dan bukan berasal dari keluarga berada.

Mereka turut mempertikaikan tindakan mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang tinggi terhadap tertuduh dan masih kekal dengan pendirian untuk mempertahankan tertuduh yang dianggap tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Dunia ni sangat tidak adil untuk orang yang tidak berharta. Kalau betullah dia salah, takkan sampai RM30,000?” kata Farah Farisha.
“Duit jaminan macam nak cekik darah. Kalau golongan atasan, bukan main murah,” kata Siti Bunga Dawai.
Terdahulu, Abang Bas ditahan dan didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan yang juga dikatakan sebagai anak saudaranya.
Semalam, kakak tertuduh memuat naik luahan di Facebook memaklumkan ibu mereka sangat merindui ‘Abang Bas’. Malah dia menegaskan adik lelaki bongsunya itu sangat menyayangi anak-anak saudaranya.








