Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon Fattah Amin, 33, terkejut dengan tindakan bekas isterinya yang sanggup membuka aib dengan menuduhnya curang selepas mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini.
Fattah menyatakan bahawa dia terkejut dengan tuduhan tersebut dan menganggapnya sebagai usaha untuk memalukan dirinya.
“Saya menafikan tuduhan itu. Malah, peguam dia sebelum ini pun sudah jelaskan tiada kes curang. Kenapa tiba-tiba perkara ini dibangkitkan?
“Saya pun ada bukti dan ia satu tohmahan untuk memalukan dan mencemarkan nama baik saya,” katanya.
Fattah juga meluahkan rasa kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas isterinya, walaupun mereka telah memeterai perjanjian untuk tidak memburukkan satu sama lain.
“Kami sudah ada perjanjian bersama sebelum saya lafazkan talak. Perjanjian kami adalah masing-masing perlu menjaga aib dan tidak mencemarkan nama baik.
“Itu perjanjian yang sudah ditandatangani bersama sebelum lafaz. Saya agak terkejut kenapa tiba-tiba ada kenyataan sebegitu daripada dia. Saya sangat sedih,” katanya.
Apabila ditanya mengenai punca perceraian, Fattah menyatakan bahawa tiada persefahaman antara mereka.
“Tiada persefahaman, itu saja. Kalau fasal curang, peguam dia sudah nafikan sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Fazura mendedahkan tiga punca perceraian mereka, salah satunya adalah kecurangan yang dilakukan oleh Fattah semasa mereka masih suami isteri. Dua lagi punca ialah pengabaian nafkah dan tiada persefahaman.
Fattah dan Fazura berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 4 tahun.
Sumber: Harian Metro