Perkahwinan adalah khabar gembira yang seharusnya diraikan dengan doa dan ucapan kebaikan. Peguam syarie, Tuan Hafiz Roslan, menasihatkan orang ramai agar menjaga adab apabila mendengar berita seseorang ingin berkahwin supaya suasana kekeluargaan dan persahabatan dapat kekal harmoni.
Menurut beliau, perkara pertama yang wajar dilakukan ialah mengucapkan tahniah dan mendoakan kebaikan kepada pasangan. Doa seperti barakallah sebagaimana yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa terbaik untuk diberi kepada mereka. Pada masa yang sama, masyarakat perlu menunjukkan rasa gembira dan sokongan dengan senyuman, ucapan tahniah serta kata-kata positif.
Tuan Hafiz Roslan menegaskan, berita perkahwinan tidak seharusnya disambut dengan sindiran, persoalan atau kata-kata yang menyakitkan hati. Sebaliknya, keputusan dan privasi pasangan perlu dihormati. Beliau juga mengingatkan agar semua orang sentiasa bersangka baik serta yakin bahawa mereka yang memilih untuk berkahwin sedang membuat keputusan terbaik untuk menghalalkan hubungan dengan niat yang baik.
“Jangan menyindir atau mempersoal atau mengata. Hormati keputusan dan privasi mereka.
“Bersangka baik. Bersangka baik dan yakin mereka buat keputusan yang terbaik. Niat mereka baik untuk halalkan hubungan,” katanya.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Selain itu, doa agar segala urusan dipermudahkan juga digalakkan, misalnya dengan ucapan “Semoga Allah permudahkan urusan, moga jadi keluarga sakinah, mawaddah, warahmah.”
Pada masa yang sama, masyarakat juga diingatkan supaya menjauhi perasaan iri hati dan dengki kerana nikmat yang dimiliki orang lain bukanlah ancaman kepada kita.








