Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Walaupun misi Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca buruk, kerosakan kapal,malah serangan dron di Tunisia, terselit kisah manis yang menyentuh hati di kalangan para pesertanya.
Sebuah video tular memperlihatkan aktivis dan pelakon Itali, Giuliano Logos, belajar cara-cara berwuduk sebelum menunaikan solat buat kali pertama di Pusat Latihan Armada Sumud Sedunia di Itali. Dalam rakaman tersebut, beliau kemudian mengikuti imam di hadapannya dengan penuh tertib.
Seusai solat, Giuliano disambut dengan pelukan dan sokongan moral daripada peserta lain, termasuk wakil dari Malaysia.
Baca juga:
- ‘Kesilapan saya sebab terlalu percayakan orang’ – Azar Azmi
- Namron zahir sokongan, minta Que Haidar terus kuat
- Yusuf Bahrin, Zizi Kirana sah bercerai talak satu
Global Sumud Flotilla menghimpunkan wakil daripada 44 negara dengan tujuan memecah sekatan laut ke atas Gaza dan menghantar lebih 500 tan bantuan kemanusiaan. Ia melibatkan lebih 600 peserta termasuk aktivis, ahli politik, doktor, sukarelawan, dan tokoh seni.
Kapal-kapal kecil dan sederhana bergerak dari pelbagai pelabuhan di Eropah dan Afrika Utara, antaranya Barcelona (Sepanyol), Genoa (Itali), Tunisia dan Yunani.
Global Sumud Flotilla masih berada dalam perjalanan menuju Gaza, berdepan halangan tetapi juga membawa bersama kisah persahabatan, keteguhan, dan inspirasi kemanusiaan. Kisah Giuliano Lagos hanyalah salah satu daripada banyak detik yang membuktikan bahawa misi ini bukan sekadar penghantaran bantuan, tetapi juga jambatan hati yang menyatukan umat manusia.
Dalam hantaran di Instagram, Giuliano Logos juga berkongsikan ucapannya sebelum belayar menuju ke misi berkenaan.
Dalam ucapannya beliau menyatakan Global Sumud Flotilla lahir sebagai simbol penentangan kolektif terhadap masyarakat individualistik tanpa kemanusiaan. Ia melaungkan bahawa meskipun suara pernah hilang, ia akan kembali lebih lantang demi Palestin yang merdeka dan dunia yang bebas dari penindasan.








