Seorang lelaki maut dalam tragedi ngeri apabila kepalanya terputus selepas kereta dinaikinya melanggar sebuah lori yang diparkir di Jalan Felda Taib Andak, berhampiran Taman Permata, di Kulai, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.36 malam sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 10.43 malam, didapati sebuah kereta jenis Honda City merempuh lori lima tan jenis Hino yang diparkir di tepi jalan.
“Pemandu kereta, seorang lelaki dewasa, mengalami kecederaan tetapi tidak tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Bagaimanapun, penumpang di bahagian hadapan maut di tempat kejadian dengan keadaan kepalanya terputus daripada badan,” katanya.
Baca juga:
- ‘Kuala Lumpur rumah kita’ – Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dipenuhi sampah
- Prihatin nasib Orang Asli Kg Sungai Cot, Tunku Azizah tawar penempatan di tanah baginda
- Ketua balai polis direman tujuh hari bantu siasatan kes rasuah hampir RM500
Mayat mangsa kemudian dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada polis dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.20 malam.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian








