Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki warga asing merayu bantuan orang ramai untuk mengesan due anaknya yang dilaporkan hilang di Malaysia sejak lebih enam bulan lalu.
Bapa kepada dua kanak-kanak itu, Dan Guerrard, berkongsi beberapa hantaran di Facebook bagi mendapatkan maklumat mengenai keberadaan anak-anaknya, Miranda dan Freddie.
Menurut Dan, kedua-dua anaknya yang kini berusia lapan dan lima tahun itu dilaporkan hilang sejak 3 Ogos 2025 ketika berada di Kuala Lumpur.
“Mereka berada di suatu tempat di Malaysia. Jika anda melihat kanak-kanak ini, tolong maklumkan kepada saya melalui mesej peribadi atau hubungi pihak polis. Sila kongsikan maklumat ini supaya kami dapat membawa mereka pulang,” tulisnya.
Dan berkata, usaha menjejaki anak-anaknya masih diteruskan walaupun sudah lebih setengah tahun berlalu tanpa sebarang perkembangan jelas.
Baca juga:
- JPNPP siasat dakwaan murid Tahun Dua dipukul dengan pembaris
- ‘Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand’ – KPN
- Stadium Nasional Bukit Jalil kini TM Stadium Nasional, Stadium Putra jadi Unifi Arena
Dakwaan berkait perebutan hak penjagaan
Di ruangan komen salah satu hantaran, Dan memaklumkan bahawa kedua-dua anaknya tidak lagi hadir ke sekolah sejak tamat tahun akademik lalu.
Beliau mendakwa, keputusan mahkamah di Kanada dan Malaysia telah memerintahkan supaya Miranda dan Freddie diserahkan semula kepadanya, sekali gus menimbulkan kemungkinan kes ini berpunca daripada pertikaian hak penjagaan.
“Mereka tidak pergi ke sekolah sejak akhir tahun akademik lalu. Hakim di Kanada dan Malaysia telah mengarahkan supaya mereka dikembalikan kepada saya. Saya berharap ada yang mengetahui di mana mereka berada dan memaklumkan kepada polis supaya situasi ini dapat diselesaikan,” tulisnya.
Menurut Dan, ketidakpastian mengenai keselamatan anak-anaknya amat memberi tekanan emosi kepada dirinya sebagai seorang bapa. Dan berharap kerjasama orang ramai dapat membantu mempercepatkan proses pencarian dan memastikan kedua-dua anaknya ditemui dalam keadaan selamat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Miranda dan Freddie diminta tampil membantu dengan menghubungi pihak berkaitan. Maklumat boleh disalurkan kepada Dan di talian 017-4963596 atau Inspektor Syuhada di nombor 04-2181822.
Sumber: Dan Guerrard / World of Buzz








