Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis mengesahkan wujudnya aktiviti tidak berpakaian melibatkan empat individu dalam program motivasi rumah tangga anjuran syarikat eHATI yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, pada 27 hingga 30 September tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku pada malam terakhir program tersebut yang dikenali sebagai Queens Night.
“Pada malam Queens Night, memang ada kegiatan bogel dilakukan empat individu membabitkan fasilitator dan peserta program. Ia dikenali dalam program itu sebagai aktiviti ‘rebirth’,” katanya.
Menurut Hussein, program motivasi itu menawarkan dua pakej iaitu Pakej A berharga sekitar RM6,000 dan Pakej B sekitar RM9,000. Pakej B dikatakan merangkumi sesi Queens Night.
“Polis turut merampas beberapa peralatan serta cecair minuman yang digunakan semasa program itu. Sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” ujarnya.
Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Tambah beliau, setakat ini seramai 30 daripada 50 peserta program sudah tampil memberi keterangan dan siasatan mendapati ia bukan terhad kepada peserta beragama Islam sahaja.
“Kita juga mengesan kehadiran penjawat awam dalam program ini. Siasatan masih berjalan dan kami mohon ruang untuk jalankan tugas,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, pengasas program eHATI yang juga pasangan suami isteri bersama empat individu lain berusia 26 hingga 57 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis terhadap kesemua enam suspek terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Sumber: Berita Harian








