Pengasas eHati nafi dakwaan program menyimpang, sedia ambil tindakan undang-undang | The Reporter

Pengasas eHati nafi dakwaan program menyimpang, sedia ambil tindakan undang-undang

Pengasas eHati meafikan dakwaan tular.
Pengasas eHati akan mengambil tindakan undang-undang sebaran fitnah. Gambar: FB e-hati

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pengasas bersama Ehati International Sdn Bhd (eHati), Diana Tahir dan Rahim Shukor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular berhubung program dijalankan oleh syarikat mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menjelaskan bahawa hantaran dimuat naik oleh seorang wanita dikenali sebagai Maysitah Ashari adalah tidak tepat dan bersifat fitnah terhadap mereka. Mereka turut menegaskan bahawa mereka merupakan pengamal bertauliah.

“Kami adalah pengamal bertauliah dalam bidang hinoterapi dan setiap program eHati dibangunkan secara teliti agar mematuhi standard etika profesional serta selari dengan budaya dan agama masyarakat kita.

“Program yang ditawarkan bertujuan membantu golongan wanita untuk mendapatkan ketenangan, kebahagiaan, meningkatkan keyakinan diri serta memulihkan trauma,” jelas kenyataan itu.

Baca juga:

Menurut mereka, eHati turut menganjurkan program khusus untuk wanita yang sudah berkahwin dan menghadapi cabaran dalam hubungan rumah tangga.

“Ada juga program yang membantu wanita yang sudah berkahwin dan mungkin menghadapi kekeliruan terhadap tubuh sendiri serta emosi. Namun, modul ini tidak ditawarkan secara terbuka dan hanya dijalankan secara tertutup,” katanya lagi.

Minuman Piya

Mengulas dakwaan mengenai minuman ‘Piya’, mereka menjelaskan bahawa produk tersebut hanyalah campuran koko asli, madu dan rempah semula jadi yang dirumus khas untuk membantu menenangkan fikiran dan tubuh.

“Minuman ini langsung tidak mengandungi bahan terlarang atau sebarang cendawan ajaib seperti yang didakwa,” tegas mereka.

Mereka juga menafikan sebarang aktiviti berunsur ritual yang dikaitkan dengan program yang dijalankan di Bali. Menurut mereka, gambar yang tular hanyalah sesi ‘breathwork’ dengan dekorasi bunga yang disediakan oleh pihak hotel.

Tindakan undang-undang

Berikutan dakwaan-dakwaan yang tular, pihak eHati memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan kenyataan berunsur fitnah dan tidak berasas. Mereka turut memaklumkan bahawa laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis berhubung perkara ini.

“Serangan terbuka dan tidak bertanggungjawab ini telah memberikan kesan terhadap kehidupan peribadi serta kesejahteraan ahli keluarga kami.

“Sebarang penyebaran kandungan berunsur fitnah oleh pihak-pihak terlibat akan diambil tindakan,” ujar mereka.

Menurut kenyataan itu juga, mereka memaklumkan bahawa dakwaan yang tular turut memberi tekanan emosi yang serius kepada ibu Diyana Tahir sehingga menjejaskan kesihatannya. Difahamkan, ibu kepada Diyana telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi semalam.

Related Posts