Kanak-kanak 10 tahun dikhuatiri lemas, jatuh longkang ketika hujan lebat | The Reporter

Kanak-kanak 10 tahun dikhuatiri lemas, jatuh longkang ketika hujan lebat

Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di longkang Puncak Alam
Gambar; Media sosial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Lorong Cakera Purnama 12/27, Bandar Puncak Alam, petang Selasa.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.47 malam.

“Sepasukan enam anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya telah dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 8.13 malam.

“Maklumat awal daripada orang awam memaklumkan mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang kira-kira jam 3.30 petang sebelum dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan oleh pasukan bomba bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemui setakat malam tadi.

Baca juga:

Difahamkan, mangsa merupakan murid Tahun Empat sebuah sekolah rendah di kawasan berkenaan, dan kejadian itu disedari oleh rakan sebayanya yang melihat mangsa terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat.

Perkongsian di media sosial turut memaklumkan operasi pencarian diteruskan sehingga awal pagi Rabu sebelum dihentikan sementara sekitar jam 4.30 pagi bagi memberi ruang kepada anggota berehat.

Menerusi komen yang ditinggalkan oleh ibu saudara mangsa di Thread, dia memaklumkan operasi dijangka disambung semula pada pagi Rabu dengan bantuan anjing pengesan bagi memperluaskan usaha mencari mangsa.

Orang ramai turut menzahirkan harapan agar mangsa segera ditemui.

Sumber: Astro Awani, Thread nadiadnan

Related Posts