Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Enam sekeluarga mengalami detik cemas apabila kereta Proton Iriz yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit di Kilometer 15, Jalan Selama-Bagan Serai. Kejadian berlaku pada petang Sabtu lalu sekitar jam 3.45 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff, kemalangan tersebut berlaku apabila pemandu kereta, seorang wanita, cuba mengelak sekumpulan monyet yang melintas di jalan. Akibatnya, kereta tersebut melanggar sebatang tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam parit di bahu jalan.
Kesemua mangsa, termasuk pemandu dan lima penumpang yang terdiri daripada empat kanak-kanak berusia antara satu hingga 13 tahun, berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.
Mereka kemudian dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar. Tiada kecederaan serius dilaporkan dan kesemua mangsa telah dibenarkan pulang pada hari yang sama.
Kes sedang disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Sebuah video berdurasi 35 saat yang tular di media sosial menunjukkan tindakan berani beberapa orang dewasa yang terjun ke dalam parit untuk menyelamatkan mangsa sebelum kereta tersebut tenggelam sepenuhnya.








