Dua lelaki warga China ditahan selepas didapati menceroboh kawasan larangan di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak pada 6 Ogos lalu.
Kedua-dua suspek ditahan anggota peronda polis tentera (MP) ketika menerbangkan dron di Padang Bola B, MINDEF. Turut dirampas beberapa peralatan termasuk dron dan kad memori.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penahanan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi, sebelum pemeriksaan di hotel penginapan mereka menemukan lagi peralatan dron.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Suspek mendakwa rakaman dron dibuat atas arahan majikan, namun tidak mengetahui motif atau tujuan tinjauan tersebut. Pihak polis kini berhubung dengan agensi antarabangsa dan tempatan bagi mengenal pasti latar belakang serta rekod perjalanan mereka.
Kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan mengikut Seksyen 3(a) dan Seksyen 4 Akta Rahsia Rasmi kerana mengintip dan melakukan dokumentasi di kawasan larangan.
Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin. Hakim Izralizam Sanusi tidak membenarkan sebarang jamin dan menetapkan 11 September depan untuk pelantikan peguam serta serahan dokumen.








