Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dalam politik Malaysia, tak susah nak jumpa menteri yang pandai bercakap. Tapi menteri yang boleh tunjuk hasil kerja dengan angka, dasar dan perubahan sebenar, itu yang jarang.
Selepas dua tahun menerajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), nama Steven Sim semakin kerap disebut sebagai antara menteri yang betul-betul “buat kerja”.
Bukan sebab gimik, bukan sebab viral. Tapi sebab rekod pencapaiannya yang boleh dinilai.
Gaji Naik, Bukan Sekadar Janji Manis
Antara perkara paling dirasai rakyat ialah kenaikan gaji minimum kepada RM1,700. Bagi sesetengah pihak, angka ini mungkin nampak kecil. Tapi untuk jutaan pekerja berpendapatan rendah, ia beri kelegaan sebenar.
Lebih menarik, gaji bulanan median negara kini berjaya melepasi RM3,000 buat pertama kali. Ini petanda penting bahawa peningkatan pendapatan bukan lagi tertumpu kepada golongan tertentu sahaja, tetapi mula dirasai secara lebih meluas.
Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif pula menunjukkan pendekatan yang lebih realistik. Lebih 32,000 pekerja menyertai pada tahun 2025, dengan kenaikan gaji permulaan median sehingga 16 peratus. Ini bukan polisi kosmetik, tetapi usaha membina sistem gaji yang lebih adil dan mampan.
Pengangguran Turun, Suara Pekerja Makin Kuat
Di bawah KESUMA, kadar pengangguran mencatat paras terendah dalam tempoh 10 tahun. Dalam masa yang sama, penubuhan kesatuan sekerja baharu meningkat dengan ketara, paling tinggi dari segi peratusan.
Ini beri gambaran jelas bahawa pekerja kini lebih berani bersuara dan lebih yakin hak mereka dilindungi. Penekanan terhadap perjanjian kolektif juga semakin ketara, sebagai contoh kes Genting Malaysia yang menyaksikan penyelarasan gaji 10 peratus dan gaji permulaan RM1,800 hasil rundingan bersama kesatuan.
PERKESO Lebih Relevan Dengan Realiti Hari Ini
Antara pencapaian yang paling besar impaknya, tetapi jarang diperkatakan secara mendalam, ialah transformasi PERKESO. Di bawah pentadbiran Steven Sim, PERKESO tidak lagi dilihat sekadar sebagai perlindungan minimum apabila sesuatu berlaku, tetapi sebagai sistem keselamatan sosial yang lebih menyeluruh.
Peningkatan faedah PERKESO memberi perlindungan lebih kukuh kepada pekerja yang berdepan kemalangan, kehilangan pekerjaan atau isu kesihatan berkaitan kerja. Paling signifikan ialah pengenalan Skim Lindung 24 Jam, satu langkah bersejarah selepas lebih 50 tahun.
Ia mengiktiraf realiti bahawa risiko terhadap pekerja tidak berlaku hanya dalam waktu pejabat atau di tempat kerja semata-mata. Dalam dunia kerja hari ini, perlindungan juga perlu ikut perubahan gaya hidup dan cara kerja.
Keselamatan & Hak Pekerja Tak Lagi Dipandang Remeh
Malaysia turut melangkah ke hadapan dengan ratifikasi Konvensyen ILO C155, sekali gus mengangkat standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan ke tahap antarabangsa.
Dalam masa sama, pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun memastikan pekerja di Malaysia Timur mendapat hak yang lebih setara dengan pekerja di Semenanjung. Ini isu lama yang sering ditangguhkan, tetapi akhirnya disentuh.
Mahkamah Perusahaan Malaysia juga diperkasa supaya pekerja tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan keadilan.
Pekerja Gig & TVET Diberi Perhatian Serius

RUU Pekerja Gig menunjukkan kesediaan kerajaan untuk mengiktiraf sektor pekerjaan moden yang semakin besar, bukan lagi menganggapnya sebagai sementara atau pinggiran.
Reformasi TVET pula memberi nafas baharu kepada pembangunan kemahiran, dengan pengenalan Sijil Kemahiran Modular Malaysia dan Sijil Pakar Malaysia. Ia membuka laluan lebih fleksibel kepada pekerja untuk menaik taraf kemahiran tanpa perlu mengikut laluan konvensional sepenuhnya.
Birokrasi Dipendekkan Jadi Pemudah Cara
Satu lagi perubahan yang dirasai industri ialah pemangkasan proses birokrasi. Tempoh kelulusan permit ekspatriat dipendekkan daripada 6 hingga 12 bulan kepada sekitar 20 hari.
Kelulusan geran HRD dipercepat kepada 24 jam, pengeluaran sijil SKM dipendekkan kepada dua minggu, manakala carian kes di Mahkamah Perusahaan kini hanya mengambil kira-kira tiga hari.
Perubahan teknikal ini nampak kecil tapi kesannya besar kepada kecekapan dan keyakinan industri.
Prestasi Yang Sukar Dipertikaikan

Dua tahun mungkin singkat dalam politik, tetapi cukup untuk menilai sama ada seseorang menteri benar-benar bekerja atau sekadar bercakap.
YB Steven Sim berjaya menunjukkan pendekatan yang fokus kepada hasil, reformasi dan kebajikan pekerja. Walaupun tak sempurna tetapi ia jelas ada arah dan keberanian untuk membetulkan sistem.
Dalam suasana politik yang sering penuh dengan janji, prestasi seperti ini wajar dinilai dengan adil dan dijadikan penanda aras semua pihak.
Terima kasih YB Steven, #jalanteruih!








