Dua lelaki maut selepas tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah treler bermuatan jentera berat, di persimpangan lampu isyarat Jalan Miri Bypass, petang Rabu.
Menerusi video tular, treler yang dinaiki mereka berhenti di kawasan itu sebelum jentera berat tersebut mengelongsor dan menghempap treler berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dikenalpasti sebagai pemandu treler, Melintang Mamuwas, 55, dan kelindannya, Tan Gawan, 44. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Baca juga:
- Tun Mahathir, Siti Hasmah cipta rekod ASEAN dan Asia
- Warga emas maut disambar buaya ketika cari siput, anak saksikan detik tragis
- ‘Hampir 99% ke Mekah’- MP Langkawi dedah kisah pemilihan parti ketika bahas RCI TH
Menurutnya, insiden itu menyebabkan bahagian atas kepala treler remuk, mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang.
“Anggota bomba kemudian membuka pintu treler bagi memberi laluan kepada pasukan perubatan menjalankan pemeriksaan, sebelum kedua-dua mangsa disahkan telah meninggal dunia.
“Pasukan bomba seterusnya mendapatkan bantuan kren untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Sumber: Buletin TV3








