Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Selepas menerima kritikan susulan perkongsiannya mengenai nafkah bulanan kepada isteri yang hanya berjumlah RM2,000, personaliti perubatan terkenal Dr Say Shazril tampil memberikan penjelasan dalam satu video TikTok.
Menurut Dr Say, beliau tidak menafikan bahawa jumlah yang diberikannya kepada isteri lebih rendah berbanding bayaran kepada pembantu rumah mereka iaitu RM1,700 sebulan. Namun, beliau merayu agar diberi ruang untuk menjelaskan konteks sebenar yang membawa kepada keputusan itu.
Antara persoalan yang turut dibangkitkan netizen adalah mengenai sewa rumah keluarga mereka di Bangsar yang mencecah RM5,500 sebulan.
Menjawab perkara itu, Dr Say memaklumkan bahawa mereka sebenarnya memiliki rumah sendiri di Cyberjaya sejak 2018. Namun, keluarga itu berpindah ke Bangsar pada Oktober 2023 bagi memudahkan urusan terapi anak sulung mereka yang mengalami autisme.
“Rumah di Bangsar itu dua tingkat, fully furnished dan hanya 1 kilometer dari pusat terapi anak saya. Lokasinya juga sangat strategik, jadi bayaran sewa itu bagi saya berbaloi,” jelasnya.
Berhubung nafkah isteri, Dr Say mengakui beliau terlupa untuk menyemak semula jumlah yang diberi selepas anak sulungnya tamat menjalani rawatan terapi bernilai RM10,000 sebulan baru-baru ini. Sebelum ini, komitmen bulanan beliau melebihi RM35,000.
Tambahnya lagi, semua keperluan asas keluarga termasuk susu, lampin, makanan dan hiburan anak-anak ditanggung olehnya. Beliau juga tidak mengganggu gaji isterinya kecuali jika isterinya ingin berkongsi perbelanjaan secara sukarela.
“Terima kasih kepada semua yang menegur. Saya terima dengan hati terbuka dan insya-Allah akan perbaiki jumlah nafkah itu selepas ini,” katanya








