Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan kemunculan pengaruh gerakan Hindutva di Malaysia yang didakwa boleh mencetuskan ketegangan antara agama serta menggugat keselamatan negara.
Dalam satu kenyataan, tokoh yang lebih dikenali sebagai Dr Maza itu berkata beliau bimbang ideologi tersebut, yang dikaitkan dengan keganasan terhadap umat Islam di India, mula meresap dan beroperasi di negara ini.
Menurut beliau, tindakan kejam seperti membunuh, membakar serta menyeksa umat Islam yang sering dikaitkan dengan kumpulan ekstremis Hindutva di India menimbulkan kebimbangan sekiranya fahaman tersebut dibawa masuk ke Malaysia.
“Kita bimbang pengganas gerakan Hindutva yang membunuh, membakar dan menyeksa Muslim dengan kejam di India kini mula beroperasi di Malaysia,” katanya.
Baca juga:
- JPNS larang sekolah tahan sijil pelajar gagal bayar yuran PIBG
- ‘Tiada pelanggaran SOP iring banduan’ – Jabatan Penjara
- Kanak-kanak 7 Tahun alami kecederaan serius, 50% saraf kaki rosak akibat dilanggar kereta
Sehubungan itu, beliau menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap latar belakang mana-mana anasir yang berpotensi menyebarkan ideologi tersebut, termasuk yang mungkin beroperasi di rumah-rumah ibadat di negara ini.
Dr Maza turut mengingatkan bahawa tindakan ganas dan sikap anti-Islam yang dipengaruhi fahaman ekstrem seperti itu boleh mencetuskan ketegangan kaum serta rusuhan besar jika tidak ditangani lebih awal.
Katanya, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keselamatan negara serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
“Ini merupakan soal keselamatan negara,” tegas beliau.








