'Diorang selalu bising, mabuk, bergaduh, ludah sirih merata' - 425 PATI ditahan Imigresen selepas terima aduan penduduk Taman Bukit Cheras - The Reporter

‘Diorang selalu bising, mabuk, bergaduh, ludah sirih merata’ – 425 PATI ditahan Imigresen selepas terima aduan penduduk Taman Bukit Cheras

Sumber gambar: Facebook Jabatan Imigresen Malaysia

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) awal pagi tadi telah menahan seramai 425 pendatang tanpa izin (PATI) dalam operasi yang dijalankan pada jam 1 pagi di kawasan pangsapuri Taman Bukit Cheras.

Lapor Harian Metro, tinjauan pihaknya mendapati hampir setiap tingkat di pangsapuri itu didiami warga asing.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin mengesahkan 600 warga asing diperiksa di tiga blok tersebut. Seramai 425 PATI berusia lingkungan 8 hingga 54 tahun ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Operasi dijalankan susulan pihaknya menerima aduan daripada penduduk yang bimbang melihat kehadiran PATI yang terlalu ramai.

Daripada 425 PATI yang ditahan itu, 371 adalah lelaki dan 53 lagi adalah wanita dan seorang kanak-kanak lelaki. 30 merupakan warga Indonesia, 252 warga Bangladesh, 108 warga Myanmar, 2 warga Filipina, 7 warga Pakistan, 6 warga Kemboja dan 20 warga Nepal.

Beberapa PATI yang ditembual oleh Harian Metro mengakui menyewa kediaman tiga bilik itu daripada warga tempatan dengan kadar sewa RM700 ke RM900.

Majoriti PATI yang ditemui adalah pemegang kad UNHCR yang bekerja dalam pelbagai bidang termasuk pembersihan dan pembinaan.

JIM juga akan menjalankan siasatan terhadap pemilik rumah yang menyewakan kediaman mereka kepada PATI.

Sumber gambar: Jabatan Imigresen Malaysia

Sementara itu, seorang penduduk, Zakaria (bukan nama sebenar), 60, mengakui pelbagai masalah timbul selepas pangsapuri itu didiami oleh PATI sejak 10 tahun lalu.

“Dia orang lagi ramai daripada kita. Kalau masuk lif tu memang orang dia saja. Mereka selalu buat bising. Lagi-lagi bila mabuk, mulalah bergaduh sesama sendiri.

“Itu belum kira perangai mereka yang suka meludah sirih merata-rata. Anak-anak mereka nakal sehingga mencalarkan kereta penduduk tempatan,” katanya.

Baca laporan penuh di Harian Metro

Sumber: Harian Metro (Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil), Jabatan Imigresen Malaysia

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!