DBP sambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri syarat permohonan warganegara, lulus bahasa Melayu - The Reporter

DBP sambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri syarat permohonan warganegara, lulus bahasa Melayu

Semasa sesi di Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan ujian penguasaan Bahasa Melayu adalah antara syarat bagi permohonan warganegara Malaysia.

“Di luar negara, penguasaan bahasa rasmi atau pertuturan negara berkenaan adalah amalan terbaik yang kita teliti, iaitu mereka yang memohon warganegara dikehendaki boleh berbahasa bahasa rasmi negara berkenaan,”katanya.

Susulan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyambut baik serta menyokong kenyataan itu.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sememangnya perlu dikuasai oleh semua warganegara. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud urusan rasmi pada peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun. Bahasa kebangsaan melambangkan identiti kebangsaan suatu bangsa dan negara,” tulis kenyataan itu.

Selaras dengan itu juga, DBP yang bertindak sebagai sebuah organisasi yang memartabatkan bahasa, telah menganjurkan pelbagai program.

“DBP telah mengadakan program Dekad Bahasa Kebangsaan, Karnival Bahasa dan Sastera, Program Semarak Bahasa dan sebagainya. Selain itu, DBP telah menawarkan pelbagai kursus untuk penguaaan bahasa Melayu melalui akademi DBP,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan sebarang surat rasmi oleh mana-mana pihak sama ada dari pihak kerajaan mahupun swasta, diutuskan dalam bahasa Melayu.

Perdana Menteri berkata, jika surat berkenaan diutus dalam bahasa selain bahasa kebangsaan, ia perlu dipulangkan semula.

Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!