Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan tindakan sitaan terhadap aktiviti penjajaan air balang yang dikesan di sekitar Dataran Merdeka pada 14 Februari 2026.
Menurut kenyataan DBKL, tindakan penguatkuasaan itu diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa memandangkan Dataran Merdeka merupakan kawasan larangan penjajaan.
DBKL menegaskan larangan tersebut bertujuan menjaga imej, kebersihan serta nilai warisan lokasi berkenaan yang menjadi kebanggaan warga kota dan tarikan pelancong.
“Terdapat aktiviti penjajaan air balang di sekitar Dataran Merdeka pada 14 Februari 2026 dan tindakan sitaan telah dilaksanakan oleh petugas DBKL selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Adalah diingatkan bahawa Dataran Merdeka merupakan kawasan larangan menjaja bagi menjaga imej, kebersihan serta nilai warisan kawasan ini yang menjadi kebanggaan warga kota dan pelancong,” katanya.
Baca juga:
- Kumpulan hak asasi haiwan gesa MBS hentikan program serah anjing terbiar
- Tindakan spontan lelaki selamatkan dua kanak-kanak dalam kebakaran raih pujian
- Polis jalankan siasatan dakwaan kanak-kanak 12 tahun diekori sebuah kenderaan
Sehubungan itu, DBKL mengingatkan orang ramai agar tidak membeli daripada penjaja haram serta bersama-sama memainkan peranan memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa terpelihara.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya kekal bersih, selamat dan sejahtera untuk dikunjungi,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial rungutan orang ramai mengenai deretan gerai yang didakwa mengganggu pemandangan ikonik Bangunan Sultan Abdul Samad.








