'DAP dalam kerajaan Melaka umpama ‘bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak’ | The Reporter

‘DAP dalam kerajaan Melaka umpama ‘bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak’

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh
Gambar: Facebook Ab Rauf Yusoh

Pentadbiran kerajaan negeri Melaka tidak akan terjejas susulan keputusan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP termasuk ADUN dari Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Adly Zahari menarik diri daripada pentadbiran negeri berkuat kuasa serta-merta.

Memetik laporan Utusan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai mandat mencukupi untuk mentadbir negeri itu secara bersendirian selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

Menurut beliau, kerjasama bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sebelum ini tidak melibatkan pembentukan kerajaan bersama, sebaliknya hanya diterjemahkan sebagai semangat persefahaman yang diamalkan di peringkat Persekutuan.

“Sebenarnya, dalam pembentukan kerajaan Melaka selepas pilihan raya yang lepas, kita tidak membentuk kerajaan dengan mana-mana parti lain untuk mendokong pembentukan kerajaan.

“Saya mengambil pendekatan supaya semangat persefahaman yang ada di Putrajaya turut diterjemahkan di Melaka tanpa membentuk kerajaan bersama mana-mana parti,” katanya.

Terdahulu, Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperuntukkan pelantikan ADUN bukan eksekutif diluluskan selepas bacaan kali ketiga di DUN Melaka.

Rang undang-undang berkenaan diluluskan dengan majoriti 23 undi menyokong, manakala lima ADUN daripada DAP mengundi menolak.

Baca juga:

Mengulas keputusan empat ADUN DAP melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri, Ab Rauf berkata perkara itu merupakan hak mutlak parti berkenaan dan beliau tidak berhasrat menghalang keputusan tersebut.

Beliau berkata, sepanjang tempoh kerjasama yang terjalin, pentadbiran negeri berjaya dikekalkan dalam keadaan stabil, harmoni serta bebas daripada sebarang prasangka.

“Apa juga keputusan yang dibuat oleh rakan-rakan DAP, termasuk jika mereka menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan ini dan mahu menarik diri daripada kerajaan, saya tidak boleh menghalang keputusan parti mereka.

“Keberadaan mereka dalam kerajaan ini umpama bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak,” katanya secara berseloroh.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata hubungan kerjasama tersebut tidak pernah disandarkan kepada sebarang perjanjian rasmi antara parti.

“Kita tidak ada satu formal agreement yang menyebabkan kita boleh tuntut harta sepencarian. Kita bersanding tidak berpelamin,” katanya.

Related Posts