'Dalam tak sedar, rakyat Kelantan mandi wajib tiga kali sehari, macam mana isu tak ada air boleh timbul?' - Mohd Amar - The Reporter

‘Dalam tak sedar, rakyat Kelantan mandi wajib tiga kali sehari, macam mana isu tak ada air boleh timbul?’ – Mohd Amar

Sumber gambar: Berita Harian

Isu air di Kelantan sentiasa menjadi bahan bualan banyak pihak, sehingga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Mohd Amar Abdullah, menyifatkan isu air telah dimanipulasi dan dijadikan sebagai satu serangan politik.

Tegasnya, isu itu tidak pernah dinafikan oleh kerajaan negeri. Tetapi masalah air itu hanya melibatkan kawasan-kawasan tertentu sahaja.

“Selama 33 tahun tak selesai masalah air? Kalau saya cakap hodoh sekali, orang Machang ini selama mana dah tak mandi?

“Selama 33 tahun orang Machang ini tak mandi, pasal tak ada air? Tak sedar sesetengah itu tiga kali sehari mandi wajib pun ada. Ketawa macam betul,” katanya secara berseloroh ketika berucap di ceramah grand final Perikatan Nasional (PN) sempena pilihan raya negeri (PRN) peringkat Parlimen Machang, di Machang.

Mengulas lanjut, semua pihak perlu jelas mengenai permasalahan itu dan pelbagai usaha telah diambil untuk mengatasinya dari semasa ke semasa.

“Ini nak bagitahu kena jelas. Masalah air, kita tak pernah mengaku tak ada masalah, memang ada masalah. Tapi adakah satu negeri Kelantan ini tak ada air belaka? Itu persoalannya.

“Adakah seluruh Kelantan ini keruh belaka air? Adakah seluruh Kelantan ini, orang tak boleh mandi?

“Sekarang ini orang buat cerita seolah-olah satu Kelantan tak ada air belaka. Seolah-olah Kelantan ini (air) keruh belaka.

“Jadi kalau keruh tak ada air, orang buka restoran lagu mana? Orang buka hospital lagu mana? Orang buka hotel, KFC macam mana? Perlu air belaka tu,” jelasnya.

Mohd Amar turut memberikan analogi masalah air di Kelantan seperti orang terkena sakit angin ahmar yang memerlukan masa untuk kembali pulih.

Tambahnya lagi, selain Kelantan, negeri-negeri lain juga mengalami masalah air seperti mana berlaku di Pulau Tioman, Raub dan Selangor.

Sumber: MalaysiaKini

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!