Keluarga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nik Alif Aiman, yang mendakwa ditampar seorang senator ketika menghadiri program di Janda Baik bulan lalu, menyatakan kesediaan untuk membawa kes tersebut ke mahkamah bagi membuktikan kebenaran.
Memetik laporan Media Point Kelantan, bapa pelajar berkenaan, Ir. Ariffahmi Ab Rahman, berkata beliau tampil bersuara selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri demi memberi ruang kepada proses keadilan. Menurutnya, beliau yakin anaknya bercakap benar kerana merupakan seorang pemimpin pelajar yang berintegriti dan tidak pernah berbohong dalam perkara serius.
Katanya, keluarga hanya membuat laporan polis kira-kira 10 hari selepas kejadian kerana pada peringkat awal mereka cuba menyelesaikan isu itu melalui rundingan. Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berhasil apabila individu yang didakwa terbabit dikatakan tidak mengakui insiden berkenaan.
Ariffahmi mendakwa terdapat ramai pelajar yang menyaksikan kejadian itu dan mengesahkan tamparan tersebut benar-benar berlaku serta bukannya sekadar gurauan. Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak universiti yang didakwa membuat kesimpulan awal bahawa tiada bukti kukuh tanpa memberi keadilan kepada anaknya.
Menurutnya, kelewatan laporan polis turut dipengaruhi cuti panjang Aidiladha selain harapan keluarga agar isu itu dapat diselesaikan secara baik tanpa melibatkan unsur politik.
Baca juga:
- Tun Mahathir, Siti Hasmah cipta rekod ASEAN dan Asia
- Warga emas maut disambar buaya ketika cari siput, anak saksikan detik tragis
- ‘Hampir 99% ke Mekah’- MP Langkawi dedah kisah pemilihan parti ketika bahas RCI TH
Terdahulu, Nik Alif Aiman mendakwa ditampar seorang senator daripada UMNO ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik. Susulan itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad menafikan dakwaan mengasari pelajar berkenaan dalam program yang berlangsung pada 20 Mei lalu. Beliau menjelaskan tindakan menyentuh pipi pelajar berkenaan dilakukan sebagai tanda kemesraan selepas dimaklumkan bahawa pelajar itu merupakan anak saudara kepada seorang sahabatnya.








