'Air mata kegembiraan' - Cikgu Solihah raih tumpuan, pelajar SPM cemerlang Kimia | The Reporter

‘Air mata kegembiraan’ – Cikgu Solihah raih tumpuan, pelajar SPM cemerlang Kimia

Pengorbanan guru
Air mata kegembiraan seorang guru meraikan kejayaan anak-anak murid. Gambar: TikTok Mun’aim Idrus

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Frasa “guru diibaratkan seperti lilin, membakar diri demi menerangi orang lain” bukan sekadar ungkapan lama. Ia terus relevan sehingga kini, malah terbukti melalui kisah menyentuh hati seorang guru yang sanggup berkorban demi anak-anak muridnya.

Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, kita sering disajikan dengan berita kejayaan pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang. Tanpa kita sedari, ‘tulang belakang’ sebenar yang telah berkorban jiwa dan raga untuk kejayaan itu seolah-olah diketepikan daripada perhatian umum.

Namun, satu perkongsian di TikTok Mun’aim Idrus pasti membuka mata kita terhadap pengorbanan tulus seorang guru yang sanggup berkorban demi kejayaan anak-anak didiknya.

Menerusi video berkenaan, Cikgu Solihah diuji dengan tanggungjawab menjaga suami yang sakit akibat kemalangan, di samping memikul peranan sebagai ibu kepada empat orang anak.

Walaupun berhadapan pelbagai dugaan, beliau tetap hadir mendidik anak-anak muridnya di sekolah dengan penuh dedikasi.

“Tahun lalu, dia berjuang tanpa henti menjaga suami yang sakit akibat kemalangan, membesarkan empat anak, dan dalam masa yang sama, tetap hadir untuk anak muridnya di sekolah.

“Dia berulang-alik dari rumah ke sekolah, dari hospital ke makmal, demi memastikan silibus kimia selesai, agar anak-anak muridnya bersedia untuk menghadapi SPM,” jelas perkongsian tersebut.

Difahamkan, Cikgu Solihah, seorang guru Kimia di SMK Ahmad Boestamam, juga merupakan satu-satunya guru subjek itu di sekolah berkenaan di Manjung.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini menyaksikan air mata Cikgu Solihah mengalir bukan kerana keletihan, tetapi kerana terlalu gembira dengan kejayaan para pelajarnya.

“Hari ini, air matanya gugur. Bukan kerana penat, tetapi kerana gembira. Anak-anak didiknya cemerlang dalam subjek Kimia. Usahanya dibayar dengan senyuman kejayaan.

“Inilah erti sebenar seorang pendidik,” tambah perkongsian itu.

Related Posts