Teresa Kok mengalami kerugian kira-kira RM2,000 apabila beg tangan serta barangan berharga miliknya dicuri selepas keretanya dipecah di Taman Persekutuan Bukit Kiara semalam.
Beliau berkata kejadian berlaku selepas beliau selesai berjoging pada jam 6.15 petang.
Setibanya di keretanya sekitar jam 7 malam, Teresa mendapati cermin tingkap bahagian penumpang hadapan dipecahkan dan beg tangan yang diletakkan di ruang kaki hilang. Selain wang tunai, wang angpau, kad pengenalan, kad kredit, dan dokumen penting lain turut hilang.
“Apabila saya kembali ke kereta pada jam 7 malam, saya mendapati cermin tingkap di bahagian penumpang hadapan telah dipecahkan.
“Beg tangan saya yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk tersebut juga telah hilang. Saya hilang kira-kira RM2,000 tunai dan wang angpau, selain kehilangan kad pengenalan serta pelbagai kad kredit dan dokumen penting yang lain,” katanya.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Susulan itu katanya, beliau terus membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail dan memuji layanan profesional pegawai polis yang mengendalikan kes berkenaan.
“Pegawai polis yang bertugas mengendalikan laporan saya dengan sangat profesional.
“Selepas laporan awal dibuat, Pegawai Penyiasat (IO), Encik Guna, datang untuk mengambil kenyataan saya. Unit forensik juga tiba tidak lama kemudian untuk mengambil gambar serta kesan cap jari pada kenderaan saya,” ujarnya.
Sehubungan itu, Teresa menyeru pihak DBKL memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara, memandangkan kes pecah kereta dan kecurian barang berharga kerap berlaku.








