Baru-baru ini tular satu video seorang wanita yang merupakan peniaga kosmetik diceraikan suaminya ketika bersiaran langsung di TikTok.
Sebelum ini juga tular mengenai isu penceraian yang dilafazkan melalui talian.
Mengulas isu ini, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata perceraian dalam Islam sepatutnya berlaku secara berakhlak, di hadapan hakim Mahkamah Syariah bukannya dengan cara sebaliknya.
Katanya, kerana perkahwinan adalah satu amalan yang sangat besar kepada Islam dan mengkehendaki supaya satu-satu perkahwinan itu berlangsung secara tenang, aman dan bahagia.
Ujarnya, jika berlaku perselisihan faham atau perbalahan ia perlu diselesaikan secara baik seperti yang dianjurkan Islam.
“Ini berikutan ketika nak berkahwin dulu, kita menggunakan cara Islam termasuk orang tengah dengan ada pertunangan, risikan dan langkah-langkah awal yang diambil sebelum kita kahwin.
“Jadi untuk berpisah ini, sama… kalau jalan terakhirnya perlu kepada bercerai maka bercerai secara berakhlak seperti yang dianjurkan oleh Islam. Namun, kita masih bersaudara dan menjalin ukhwah Islamiah serta tidak perlu bermasam muka,” katanya.
Tambahnya lagi, perkara negatif (penceraian) tidak sepatutnya dihebohkan, dibimbangi akan menjadi ikutan dan dianggap perkara biasa.
“Jadi perkara ini seolah-olah menjadi galakan untuk bercerai. Sebab itu bercerai dalam talian dan dihebohkan ini adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tidak dikehendaki oleh agama.
“Kalau perkara yang baik memang kita perlu hebohkan dan perkara yang negatif ini tidak perlu dihebohkan,” katanya.
Sumber: Berita Harian