Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa pihak PAS serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh supaya tidak sekadar membantah penganjuran acara pelancongan, sebaliknya tampil dengan cadangan yang lebih konstruktif bagi merancakkan industri pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Beliau berkata, kedua-dua pihak sebelum ini lantang menentang penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang berlangsung di Bukit Bintang, dengan alasan ia tidak mencerminkan identiti negara serta isu penjimatan perbelanjaan kerajaan.
Bagaimanapun, menurut Teresa, bantahan tersebut tidak disertakan dengan sebarang cadangan alternatif yang mampu membantu menarik kehadiran pelancong asing serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Jika mereka tidak bersetuju dengan penganjuran konsert jalanan atau festival muzik, mereka juga perlu mengemukakan program lain yang mampu bawa masuk berjuta-juta pelancong,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga:
- ‘Jangan jadikan Malaysia ‘lesu’ pelancongan seperti Langkawi’ – Teresa Kok
- GSF 2.0: ‘Kami konsisten teruskan pelayaran ke Gaza’ – ZRA
- Lelaki ditahan bantu siasatan kes hantaran hina Sultan Selangor
Beliau turut mendakwa prestasi pentadbiran PAS dalam sektor pelancongan sebelum ini perlu dijadikan pengajaran, merujuk kepada situasi di Langkawi yang menurutnya mengalami penurunan jumlah pelancong.
“Kita tidak boleh membiarkan imej Kuala Lumpur dan negara terjejas akibat dasar yang disifatkan sempit sehingga menjejaskan ekonomi rakyat,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Teresa menegaskan kebanyakan pelancong antarabangsa datang ke Malaysia untuk menikmati percutian serta hiburan.
‘Majoriti pelancong asing melawat Malaysia untuk berehat, mencari hiburan, dan merasai kemeriahan budaya bandar raya. Mereka datang bukan untuk terikat dengan sekatan moraliti yang melampau,” ujarnya.
Tambahnya lagi, fokus utama ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha menjayakan VM2026 dan memperkukuh ekonomi negara, bukannya perdebatan politik yang boleh menjejaskan imej Malaysia di mata pelabur dan pelancong asing.
“Jangan jadikan Malaysia sebagai negara yang lesu dari segi pelancongan,” katanya.









