Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan berhubung hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu, siasatan dijalankan susulan satu hantaran yang dimuat naik oleh akaun Facebook menggunakan nama Lucas Liam pada 2 Mei lalu.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan pada 3 Mei 2026 kira-kira jam 7.10 petang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
“Operasi ini turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat dengan akaun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga:
- ‘Jangan jadikan Malaysia ‘lesu’ pelancongan seperti Langkawi’ – Teresa Kok
- GSF 2.0: ‘Kami konsisten teruskan pelayaran ke Gaza’ – ZRA
- Lelaki ditahan bantu siasatan kes hantaran hina Sultan Selangor
Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua unit telefon bimbit jenama Samsung bersama kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.
Beliau berkata, sebanyak 12 laporan polis telah diterima di seluruh negara berkaitan isu berkenaan.
“Permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat pada 4 Mei 2026 bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sebarang penyalahgunaan media sosial yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R) boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kesejahteraan negara.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya.









