Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penyiaran media di Sarawak, bersama anaknya dan dua individu lain, direman selama tiga hari bermula semalam. Penahanan mereka dilakukan dalam operasi khas, Op Ragada, di Sarawak dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan siasatan tertumpu kepada transaksi aliran wang yang mencurigakan melibatkan kesemua suspek berusia antara 26 hingga 62 tahun. Seorang lagi anak CEO terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Siasatan dijalankan mengikut pelbagai akta termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, serta beberapa seksyen dalam Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sitaan melebihi RM17 juta
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut merampas pelbagai aset bernilai lebih RM17 juta. Antara yang disita termasuk kenderaan, akaun bank, dan dokumen yang dipercayai berkaitan kegiatan jenayah tersebut.
Siasatan mendapati suspek terlibat dalam aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan mencurigakan, selain melakukan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender, dan penganugerahan tender kepada diri sendiri serta ahli keluarga.
Kumpulan Media Sarawak (SMG), yang memiliki TV Sarawak (TVS), dalam kenyataan ringkas menyatakan kesediaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa. SMG menegaskan bahawa isu ini tidak menjejaskan operasi mereka secara keseluruhan.
Sumber: Harian Metro








