Tujuh tahun selepas kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau Acap, abangnya, Denny Lang mendedahkan keluarga mereka pernah berdepan pelbagai cubaan pemerasan daripada individu yang menawarkan bantuan bagi mencari peserta Gopeng Ultra Trail itu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Denny berkata keluarga sering dipersoalkan mengapa mereka tidak mendapatkan bantuan daripada individu atau perawat tertentu sepanjang usaha pencarian Acap dijalankan.
Menurutnya, keluarga ketika itu tidak mengetahui siapa yang benar-benar mampu membantu dan tidak berupaya untuk menghubungi semua pihak yang tampil menawarkan bantuan. Malah, selepas tujuh tahun menyimpan perkara tersebut, dia merasakan sudah tiba masanya untuk berkongsi pengalaman yang dilalui keluarganya.
Baca juga:
- Abang Acap dedah keluarga pernah jadi mangsa cubaan pemerasan
- Rider muda raih pujian, bantu lancarkan pergerakan ambulans ke HTAA
- Onn Hafiz nafi senarai calon BN tular
Denny mendakwa terdapat individu yang meminta bayaran sehingga RM18,000 untuk membantu pencarian, selain ada yang didakwa mengambil kesempatan dengan memeras wang keluarga sehingga mencecah ribuan ringgit.
Dia turut mendakwa ada pihak yang meminta keluarga mengadakan kenduri di puncak bukit dengan anggaran kos RM6,000, manakala seorang lagi individu dikatakan meminta bayaran RM3,000 bagi tujuan “imbasan” sebelum menuntut tambahan RM13,000 untuk proses membawa pulang Acap.
Menurut Denny, terdapat juga pihak yang mendakwa mempunyai hak untuk mengenakan caj perkhidmatan mengikut kadar yang mereka tentukan selepas dihubungi keluarga.
“Ada banyak lagi kejahatan pemerasan yang dilakukan terhadap keluarga kami dan mereka ini sangat pandai berdalih. Kami hanya mendiamkan perkara itu dan terus fokus pada pencarian,” katanya.
Denny turut mendedahkan bahawa Ketua Polis Daerah (OCPD) Kampar ketika itu mengesan beberapa cubaan pemerasan tersebut dan menghubunginya bagi membincangkan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, selepas berbincang dengan ahli keluarga serta mengambil kira keadaan yang kritikal pada waktu itu, mereka memutuskan untuk tidak mendedahkan individu terbabit atau membuat laporan lanjut kepada pihak berkuasa.
Untuk rekod, misteri kehilangan Acap masih belum terungkai sehingga kini. Acap dilaporkan hilang ketika menyertai perlumbaan Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac 2019 di kawasan hutan dan bukit sekitar Gopeng, Perak.









