Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
KUALA LUMPUR, 28 November 2024 – Catcha Digital Berhad mengumumkan pembelian 51% kepentingan dalam Nexible Solutions Sdn Bhd dengan nilai RM11.38 juta. Pembayaran akan dibuat dalam empat peringkat berdasarkan pencapaian keuntungan selepas cukai (PAT Guarantee) dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2027.
Anggaran PAT Guarantee ialah RM700,000 untuk 2024, RM1.2 juta pada 2025, RM2.2 juta pada 2026, dan RM3.3 juta pada 2027. Langkah ini memberi peluang kepada Catcha Digital untuk memasuki sektor perisian perkhidmatan (SaaS) dan kecerdasan buatan (AI), dengan sumbangan positif kepada per saham syarikat.
Nexible Solutions menawarkan platform pengurusan jualan berasaskan AI, Outperform, yang membantu syarikat dalam sektor hartanah, automotif, pendidikan, dan peralatan elektrik menguruskan pelanggan dengan lebih cekap. Dalam dua tahun terakhir, Nexible memanfaatkan teknologi AI Generatif untuk mempertingkatkan Outperform sebagai pembantu CRM pintar yang mampu menguruskan tugas rutin, menilai prospek, dan mempercepatkan proses jualan.
Menjelang suku pertama 2025, Nexible bakal memperkenalkan Outperform AI Agent, yang menggunakan teknologi Agentic AI untuk mengendalikan proses pra-jualan seperti berinteraksi dengan prospek, menilai kelayakan pelanggan, serta mengatur janji temu dengan lebih mudah.
“Pengambilalihan ini adalah langkah penting dalam usaha kami menjadi kumpulan digital terkemuka di ASEAN. Platform SaaS berasaskan AI milik Nexible sejajar dengan visi kami untuk memanfaatkan ekonomi digital serantau yang pesat berkembang,” kata Patrick Grove, Pengerusi Catcha Digital.
CEO Nexible Solutions, Ananprakash A/L Saminathen, berkata, “Kerjasama ini membuka peluang besar bagi Nexible untuk berkembang. Dengan sokongan pasukan Catcha yang berpengalaman, kami yakin mampu mengembangkan Outperform ke pasaran ASEAN dan global.”
Perjanjian ini juga membuka ruang untuk Catcha Digital memperkenalkan perkhidmatan iklan digitalnya kepada pelanggan Nexible, manakala Nexible pula dapat menawarkan produknya kepada pelanggan Catcha Digital. Langkah ini memperkukuhkan usaha Catcha Digital untuk membina kumpulan digital terkemuka di ASEAN, dengan menyasarkan ekonomi digital serantau yang bernilai RM1 trilion seperti yang dilaporkan dalam SEA e-Conomy Report 2023.