Seorang lelaki berusia 28 tahun dijatuhi hukuman penjara 34 bulan serta enam sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencabul dan merakam kakak kandungnya yang juga orang kelainan upaya (OKU) di Parit Raja.
Keputusan itu dibuat selepas tertuduh mengaku salah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku pada 20 Februari lalu sekitar jam 8.41 malam dan 9.10 malam di sebuah rumah dekat Parit Raja. Tertuduh didakwa mencabul kehormatan kakaknya yang berusia 35 tahun sebelum merakam dan menyimpan video serta gambar lucah mangsa dalam telefon bimbit miliknya.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Hukuman bagi tiga pertuduhan
Bagi dua pertuduhan mencabul, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan.
Untuk pertuduhan ketiga di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menyimpan bahan lucah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan. Kesemua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 21 Februari, manakala sebatan dijalankan secara berasingan.
Perbuatan terbongkar selepas disedari ahli keluarga
Menurut fakta kes, salah seorang kakak tertuduh ternampak perbuatan tidak senonoh itu ketika berada di rumah. Mangsa yang merupakan OKU dan memakai lampin pakai buang ketika kejadian, berada di rumah bersama beberapa ahli keluarga lain.
Susulan laporan dibuat, polis menahan tertuduh pada jam 1.05 pagi, 21 Februari dan pemeriksaan telefon bimbitnya menemukan video serta gambar lucah mangsa yang dirakam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Sumber: Harian Metro








