UMNO-BN mampu angkat Sabah keluar dari status negeri termundur - Bung Moktar | The Reporter

UMNO-BN mampu angkat Sabah keluar dari status negeri termundur – Bung Moktar

Bung Moktar Radin ketika sidang media, berwajah serius dengan latar belakang beberapa individu.
Bung Moktar yakin UMNO-BN mampu angkat Sabah keluar daripada status negeri termundur. | Kredit gambar: Kosmo

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod cemerlang dalam membangunkan negeri, sekali gus yakin rakyat akan kembali memberi mandat kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, sejak era pentadbiran BN, banyak pembangunan besar telah dilaksanakan termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih. Namun selepas tumbangnya BN pada 2018, projek-projek itu didakwa terbengkalai dan masalah asas kembali berulang.

“Sebelum BN mentadbir, Sabah ketinggalan jauh. Selepas kita ambil alih, arus pembangunan bermula. Kalau tidak terkandas pada 2018, isu air dan jalan raya sudah selesai,” katanya memetik laporan portal UMNO-Online.

Baca juga:

Kritikan pertadbiran parti lain

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu, semua parti termasuk PBS, GRS dan Warisan telah diberi peluang mentadbir, namun BN sahaja yang mempunyai rekod jelas membela rakyat. Katanya, slogan Sabah Maju Jaya yang dilaungkan kerajaan GRS tidak mencerminkan realiti sebenar kerana data membuktikan masih banyak infrastruktur asas seperti jalan raya yang ketinggalan.

Beliau turut membangkitkan isu projek Pan Borneo yang belum siap sepenuhnya serta mendakwa wujud amalan pecah tanah berulang kali untuk projek sama.

“Data tidak menipu. Jalan raya masih teruk, berlubang, tetapi mereka letak papan tanda ‘Sabah Maju Jaya’,” katanya.

Seruan kepada rakyat dan jentera parti

Bung turut menegaskan BN adalah parti yang adil tanpa mengira kaum atau agama, berbeza dengan parti lain yang hanya menjaga kelompok sendiri ketika berkuasa.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan kemenangan pilihan raya bukan jaminan untuk kekal memerintah jika janji tidak ditunaikan. Justeru, katanya, pemimpin UMNO-BN perlu kembali fokus menyelesaikan masalah rakyat bagi memastikan parti mampu bertahan untuk tempoh 20 hingga 30 tahun lagi.

“Calon penting, parti penting, tetapi jentera akar umbi penentu kemenangan. Kepada rakyat, fikirkan masa depan lebih baik. Kami beri jaminan selepas menang nanti, nasib rakyat dan kerajaan negeri Sabah akan berubah,” tegasnya.

Sumber: UMNO Online

Related Posts