'Bukan bahan sindiran' - Dr Zulkifli Hasan kesal audio Takbir Raya PMX disunting | The Reporter

‘Bukan bahan sindiran’ – Dr Zulkifli Hasan kesal audio Takbir Raya PMX disunting

Takbir Raya PMX
Takbir Raya sewajarnya dilihat dari aspek penghayatan dan simbolik keindahan amalan. Gambar: FB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan kesal dengan tidakan beberapa pihak yang cuba menyunting audio rakaman suara Takbir Raya Aidilfitri YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya, bukan semua perkara boleh dijadikan sebagai bahan sindiran dan gurauan sinikal.

“Merujuk kepada beberapa video yang menggunakan rakaman suara Takbir Raya Aidilfitri YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sengaja disunting audionya – agar kedengaran perlahan (slow motion) dan dijadikan bahan gurauan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Bukan semua perkara perlu dibangkang, bukan semua benda boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan sinikal,” katanya.

Jelasnya, takbir Raya adalah tanda keinsafan serta pengagungan kepada Allah atas segala nikmat-Nya dan amalan sunnah yang boleh diamalkan ketika sambutan Aidilfitri.

“Antara amalan sunnah yang boleh diamalkan ketika sambutan Aidilfitri – ialah memperbanyakkan Takbir Raya Aidilfitri; iaitu bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) Syawal dan berakhir setelah selesainya kemuncak Hari Raya.

“Melaungkan Takbir Raya sewajarnya dilihat dari aspek penghayatan dan simbolik keindahan amalan tersebut dan bukan sejauh mana kemerduan atau kelunakan suara sesiapa juga yang melakukannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Takbir raya bukan bahan sindiran

Tegas Zulkifli, walaupun berbeza pandangan, tidak perlu menghina, mengaib dan memfitnah lebih-lebih lagi apabila berkait dengan kesucian nama Allah.

“Tidak wajar kita mempermainkan Takbir Raya atas nama gurauan atau semata-mata kerana perbezaan sokongan ideologi politik kepartian. Kritiklah dengan fakta jika ada perkara yang tidak dipersetujui, bicaralah dengan hujah yang benar dan dikaji secara bersungguh.

“Berbeza pandangan tidak salah, namun jangan sampai tahap menghina, mengaib dan memfitnah, apa lagi dengan perkara berkait kesucian nama Allah SWT serta ketinggian Islam sebagai agama yang kita semua cintai.

“Bersesuaian dengan semangat takbir raya, ia seharusnya menyuntik semangat kita untuk terus komited dengan keyakinan kepada Islam, serta menjadikan kita sebagai Mukmin sejati, yang menampilkan akhlak dan adab yang tinggi,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video rakaman Takbir Raya Perdana Menteri disunting (slow motion) agar kedengaran perlahan.

Related Posts