Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terpaksa merayu meminta makanan dari dalam rumahnya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Menglembu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa ditemui oleh penduduk yang kebetulan lalu di hadapan kediamannya, sekali gus membongkar kanak-kanak itu telah didera berdasarkan kesan kecederaan di badannya.
Ketika ditemui, mangsa yang kelaparan ditinggalkan bersendirian di rumah dengan pintu jeriji dikunci dari luar.
“Mangsa meminta makanan daripada orang awam yang berjalan di depan rumahnya, sebelum saksi melihat terdapat kesan kecederaan di badan mangsa.
“Saksi kemudian memaklumkan kepada polis pada jam 4.30 petang,” katanya memetik laporan daripada Harian Metro, Khamis.
Pemeriksaan polis mendapati, kanak-kanak itu hanya ditinggalkan dengan roti dan peket minuman malta coklat untuk dimakan sebelum penjaganya keluar bekerja.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan ibu mangsa berusia 23 tahun (tukang cuci) dan teman lelakinya, 26 tahun (pengutip kotak) pada jam 7 petang di kediaman tersebut.
Difahamkan mangsa juga sudah lama tidak bertemu dengan bapa kandungnya sejak ibu bapanya bercerai pada tahun 2019.
Pasangan itu direman selama lima hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Polis turut merampas paip getah dan rotan yang dipercayai telah digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.
Mangsa kini sedang dirawat dan dipantau oleh doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Sumber: Harian Metro, Bernama








