Buang sampah kecil di tempat awam termasuk najis haiwan peliharaan boleh didenda RM3K | The Reporter

Buang sampah kecil di tempat awam termasuk najis haiwan peliharaan boleh didenda RM3K

Buang sampah merata di tempat awam boleh didenda sehingga RM3000
Gambar hiasan, Freepik

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bermula 1 Januari 2026, tindakan membuang sampah kecil di tempat awam termasuk najis haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing, akan dikenakan tindakan tegas menerusi pindaan undang-undang yang diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

Menerusi kenyataannya, beliau menegaskan bahawa pindaan ini dibuat bagi memperkukuhkan penguatkuasaan dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kebersihan persekitaran lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Siapa-siapa yang bela kucing ke, anjing ke, dan sengaja buang najis haiwan di tempat awam, itu tetap dianggap sampah dan boleh dikenakan denda sehingga RM3,000,” tegas beliau.

Pindaan yang diperkenalkan ini merangkumi empat aspek utama. Pertama, ia menetapkan denda yang lebih tinggi terhadap pesalah yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam. Kedua, pindaan ini memberi kuasa kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman denda serta mengarahkan pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat selama tidak melebihi 12 jam, termasuk kerja-kerja seperti mencuci longkang, tandas awam dan menyapu jalan.

Ketiga, ia memperuntukkan kuasa pemantauan kepada pegawai yang dilantik untuk memastikan pelaksanaan khidmat masyarakat berjalan lancar, di samping memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk menggubal undang-undang kecil berkaitan. Keempat, pelaksanaan undang-undang ini turut terpakai kepada warga asing dan pelancong yang melakukan kesalahan sama.

Baca juga:

Tambahnya, pesalah yang gagal melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat selepas disabitkan kesalahan oleh mahkamah juga berisiko dikenakan hukuman penjara.

Menurut Nga, langkah ini untuk memberi kesedaran terhadap pentingnya kebersihan dan tanggungjawab sosial. Malaysia disasarkan untuk muncul sebagai negara yang bersih, indah dan sejahtera, selari dengan aspirasi kerajaan Madani.

“Ini bukan denda harga ramah. RM3,000 itu mahal. Jadi jangan buang puntung rokok, tisu, atau najis haiwan merata-rata. Bersikaplah bertanggungjawab demi masa depan Malaysia yang lebih bersih,” katanya.

Terdahulu, Kor Ming dalam satu kenyataan, mengumumkan bahawa satu rang undang-undang baharu akan dibentangkan dalam masa terdekat yang berkaitan dengan undang-undang khidmat masyarakat.

Related Posts