Lelaki cetus provokasi Hari Kebangsaan di Putrajaya positif dadah | The Reporter

Lelaki cetus provokasi Hari Kebangsaan di Putrajaya positif dadah

Lelaki ditahan polis selepas didakwa mencetuskan provokasi ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya
Lelaki berusia 30 tahun direman sehari bagi membantu siasatan insiden provokasi ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.

Lelaki berusia 30 tahun yang didakwa mencetuskan provokasi sehingga berlaku insiden tolak-menolak ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, Isnin lalu, didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, suspek hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira jam 12.15 tengah malam pada 2 September.

Menurutnya, polis menerima lima laporan berkaitan kejadian provokasi tersebut, selain mengambil rakaman percakapan daripada tujuh saksi bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Baca juga:

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dibenarkan selama satu hari bermula Rabu.

Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki berbaju coklat didakwa melakukan provokasi terhadap anggota polis yang bertugas.

Dia juga didakwa merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar kawasan tempat duduk sehingga berlaku insiden tolak-menolak dan menyebabkan beberapa individu terjatuh.

Suspek yang bekerja sebagai tukang masak itu ditahan bagi membantu siasatan susulan lima laporan polis yang diterima berkaitan kejadian tersebut.

Related Posts